MISI DAN VISI SEKOLAH


1.0 Visi dan Misi Sekolah

     Selaras dengan arahan yang dikeluarkan oleh Jabatan Pelajaran Negeri (JPN), visi dan misi sekolah adalah selari dengan visi dan misi Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Objektif penggunaan visi dan misi yang sama ini adalah supaya agensi pendidikan di Wilayah Persekutuan mempunyai satu hala tuju yang sama dalam membentuk kemenjadian murid.

Visi
“Sekolah Unggul Penjana Generasi Terbilang’

Misi

“Membangunkan Potensi Individu Melalui Pendidikan Berkualiti”

2.0 Moto Sekolah
SKTM 2 telah mewujudkan moto dalam usaha menaikkan semangat warga sekolah ke arah kecemerlangan. Moto SKTM 2 seperti berikut:

“Cendekiawan Berbudi”


3.0 Falsafah

SKTM 2 sentiasa berusaha meningkatkan keterampilan organisasi dalam memartabatkan budaya ilmu bagi mendidik, mengangkat, dan mengembangkan potensi murid dari segi jasmani, emosi, rohani, dan intelek berdasarkan kepatuhan kepada Tuhan untuk kesejahteraan diri, keluarga, masyarakat, agama, bangsa, dan negara dengan bermatlamatkan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

4.0 Nilai

 Budaya kerja sepasukan adalah nilai utama yang diamalkan di SKTM 2. Melalui budaya kerja ini, segala perancangan yang diatur secara bersama-sama dapat dilaksanakan dengan jayanya. Pihak pengurusan sentiasa memberi ruang kepada warga sekolah untuk mengemukakan idea dan cadangan dalam menambah baik kefungsian sekolah untuk murid-murid dan  sedia menerima idea yang diberikan secara terbuka. Ini bertepatan dengan prinsip kerja XPLUS (Lampiran B) yang ingin diterapkan oleh Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia iaitu Tan Sri Abdul Ghafar bin Mahmud. Pihak sekolah sangat menyokong prinsip kerja berkenaan dengan menyebarluaskan dan menjadikan saranan prinsip ini sebagai budaya kerja harian warga sekolah.

Selain itu, nilai kepedulian atau keprihatinan sering diuar-uarkan kepada warga sekolah terutamanya guru-guru dan murid-murid. Rasionalnya supaya warga sekolah saling mengambil berat setiap perkara yang berlaku di dalam sekolah. Secara tidak langsung, nilai ini boleh membentuk budaya kerja sepasukan yang mantap dan melahirkan rasa sayang antara satu sama lain. Nilai kekeluargaan sesama warga akan dapat disuntik seterusnya melahirkan warga sekolah yang saling menghormati antara satu sama lain.

Dalam usaha memastikan keadaan sekolah bersih dan kemas, nilai 5S juga telah diperkenalkan secara berperingkat kepada ahli SKTM 2. Hal ini bertepatan dengan prinsip budaya kerja yang diamalkan oleh Jabatan Pelajaran Negeri Kuala Lumpur (JPNKL) dan Pejabat Pelajaran Wilayah (PPW) Bangsar Pudu untuk menjadikan persekitaran tempat kerja kemas, bersih dan selesa. Usaha ini juga membuktikan bahawa SKTM 2 sentiasa menyahut saranan pihak atasan terutamanya JPNKL dan PPW untuk membuktikan bahawa sekolah sehilir semudik dan sentiasa sealiran dengan pengurusan peringkat atasan.

        5.0 Lagu Sekolah

 Sekolah kami guru kami
Bakti kami kian menjadi
Kami cendekiawan berbudi
Janji menabur bakti

Mari kawan mari semua
Mari kita bersatu hati
Teguh jangan sampai roboh
Kita adalah contoh

Terima kasih guru semua
Juga pada ibu bapa
Jasamu semua tak akan lupa
SK Taman Midah 2





















No comments:

Post a Comment